Friday 16 November 2012

SEJARAH PERKEMBANGAN ST JOHN AMBULANS MALAYSIA

1908    -   Sekumpulan pegawai perubatan yang berkhidmat dengan Perkhidmatan Perubatan Tentera British berpusat di negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat menubuhkan St John Ambulance di Malaya. Kapten Dr John Sutton Webster (Singapura), Dr Richard Desmond Fitzgerald (Johor) dan Mr Arthur Mitchell Goodman (Kuala Lumpur) merupakan pengasas aktiviti-aktiviti St John Ambulans apabila mereka tiba di Malaya sekitar tahun 1908 hingga 1922. 

1935   -   Organisasi St John Ambulans Association (SJAA) dimulakan oleh Dr Webster di Singapura dan dikembangkan ke negeri-negeri lain di Malaya. Surat-surat siaran dikirimkan kepada residen-residen British (negeri-negeri Melayu Bersekutu), Penasihat British (negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu), Resident Commissioners (negeri-negeri Selat) dan Pegawai Perubatan dan Kesihatan Negeri untuk mempromosi serta memperkenalkan perkhidmatan St John Ambulans. Semua negeri digalakkan untuk memulakan Pusat SJAA dengan Residen British, Penasihat British atau Resident Commissioners dilantik sebagai Presiden SJAA dnd the Pegawai Perubatan dan Kesihatan Negeri masing-masing dipilih sebagai Pengerusi SJAA. 

1937   -   SJAA Malaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama. 

1938   -   Lady Ursula Copland-Griffiths, anak perempuan Viscount Halifax, mewakili St John Ambulans Brigade’s Lady Superintendent-in-Chief,  tiba di Singapura dan melawat Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur pada bulan Januari. Beliau membawa misi untuk menstimulasikan minat di kalangan orang Malaya untuk menubuhkan St John Ambulans Brigade (SJAB) di bandar-bandar utama. Kerajaan British telah menubuhkan divisi SJAB di sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu. SJAB yang pertama dilancarkan di Pulau Pinang.

1939   -   SJAB ditubuhkan di Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah. Organisasi ini diterajui oleh Dr Fitzgerald sebagai Presiden, Dr Webster, District Superintendent yang pertama dan Kapten Goodman Ambler, yang kemudiannya menggantikan Dr Webster. Dr Robert Barr MacGregor merupakan Pengerusi SJAA Malaya dan SJAB Malaya District Commissioner yang terakhir sebelum perang meletus.

1941   -   11 Disember, pengebom tentera udara Jepun menjatuhkan bom atas kawasan penduduk tempatan. Ahli SJAB melibatkan diri dalam gerakan pertahanan serangan udara dan pertolongan cemas, perkhidmatan sepenuh masa dalam Unit Ambulans Medan Perang Tentera British, Perkhidmatan Sukarela Perubatan (MAS), mengikuti tentera Singapura dan berkhidmat sehingga kejatuhan Singapura ke tangan Jepun dan penduduk tempatan mula melibatkan diri dalam aktiviti SJAB. SJAB diterima sebagai Perkhidmatan Perubatan Tambahan oleh kerajaan British, satu-satunya organisasi yang menawarkan perkhidmatan sukarela di Malaya semasa Perang Dunia Kedua. Ahli-ahli Briged turut dibenarkan memakai pakaian seragam dan memaparkan pangkat untuk memberikan galakan dan penghargaan supaya bertugas dengan baik. Ramai ahli yang terlibat dalam kerja sukarela ini menjadi tonggak pergerakan St John Ambulans di Malaya antaranya ialah Encik E Paramasivam (SJAM Commander-in-Chief 1987-1991) dan Encik Ng Khoon Hong (Komander SJAM Negeri Perak 1972-1996).

1945   -   Dr Robert Barr McGregor, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Tanah Melayu, Dr Hopkins, Leftenan Kolonel Douglas Mcgawne, Mr C E Robless dan Kapten Goodman Ambler memulihkan SJAA dan SJAB selepas Jepun berundur pada bulan September.

1946   -   Elaun perang dan Defence Medal dikurniakan oleh King George VI kepada semua sukarelawan.

1947   -   Pada 10 Julai, suatu mesyuarat diadakan pada jam 5.00 petang di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (sekarang Panggung Bandaraya) untuk menentukan hala tuju pemulihan SJAA dan SJAB seluruh negara.  Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil-wakil St John dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang dan Singapura,  Perkhidmatan Perubatan Tentera, Departmen Keretapi, Departmen Pelajaran, Departmen Polis dan Perkhidmatan Perubatan Awam. Dr McGregor turut membentangkan tugas-tugas akan datang dan menghuraikan makna pertolongan cemas iaitu mengamalkan prinsip pertolongan awal terhadap individu yang cedera dan uzur, melatih seberapa banyak pengamal pertolongan cemas yang mampu berkhidmat dan membentuk organisasi supaya kemahiran serta kesanggupan berkhidmat dapat dimaksimumkan. Seterusnya, suatu mesyuarat lagi diadakan di lokasi yang sama. SJAA Malaya dan Singapura bersetuju untuk berpisah tetapi akan bekerja sama.

1948   -   Cawangan Borneo Utara mengadakan mesyuarat yang pertama selepas perang diikuti oleh lebih banyak cawangan dalam negeri-negeri lain.

1949   -   Kolonel Sir James Lewis Sleeman, SJAB Chief Commissioner melawat Malaya pada 15 Februari. Countess Mountbatten of Burma memuji perkhidmatan St John ketika perang.

1952   -   Pada 30 Januari, Leftenan Jeneral Sir Otto Ludd, SJAB Overseas Commissioner-in-Chief melawat Malaya dan Borneo Utara untuk memantau proses pemulihan. Kerajaan British merencanakan program mempromosikan kesedaran kesihatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.

1955   -   SJAB mengadakan First Federal Conference-cum-Investiture di Hotel Majestic, Victory Avenue (sekarang Jalan Sultan Hishamuddin), Kuala Lumpur pada 29 Julai dan telah dirasmikan oleh  His Excellency Sir Donald MacGillivray, diiringi oleh Lady Louisa MacGillivray. Keahlian telah mencecah 4000 orang. The Order mendapat piawaian DiRaja England dengan nama penuh "The Grand Priory IN The British Realm Of The Most Vulnerable Order Of The Hospital Of St John Of Jerusalem".

1957   -   YAB Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Timbalan Perdana Menteri menganggotai SJAA sebagai Presiden. Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan diadakan untuk kali pertama di Kuala Lumpur. Dr Chang Hoey Chan pula dilantik menjadi Pesuruhjaya Daerah Persekutuan Tanah Melayu.

1958   -   Pada 17 Februari, Major Jeneral John Mather Kirkman, SJAB Overseas Commissioner-in-Chief tiba di Kuala Lumpur untuk proses penyerahan kuasa eksekutif dan pengurusan kepada pegawai-pegawai Malaya. Di bawah arahan Pengerusi SJAA Tan Sri Dato' Yong Shi Meow, Peraturan SJAA diubah mengikut kesesuaian orang-orang tempatan. Dr Chang Hoey Chan menjadi anak tempatan pertama memegang jawatan SJAB Malaya District Commissioner hingga tahun 1966. Federal Organiser, Cik Irene Checkley dan SJAB Malaya District Superintendent (Nursing), Datin Saadiah Sardon menubuhkan Nursing Advisory Board pada bulan November.

1959   -   Ibu pejabat St John Ambulans di London mencadangkan penubuhan Majlis St John di Persekutuan Tanah Melayu. Satu jawatankuasa dikenali sebagai St John Council Of Malaya dibentuk.

1960   -   Countess Mountbatten Of Burma, Lady Edwna Cynthia Annette dengan rasminya menyerahkan Kaedah Majlis St John Council Of Malaya kepada YB Tan Sri Ong Yoke Lin iaitu Menteri Kesihatan merangkap Pengerusi majlis tersebut.

1961   -   Terengganu mengadakan mesyuarat yang pertama. Pada 15 April, Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan Pan-Malayan diadakan.

1971   -   Satu jawatankuasa dibentuk untuk mengkaji dan membuat cadangan untuk menggabungkan SJAA dan SJAB demi menyelaraskan aktiviti kedua-dua perbadanan di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak.

1972   -   SJAA dan SJAB diperbadankan di bawah Akta Perbadanan St John Ambulans Malaysia dan Tan Sri Abdul Kadir bin Shamsuddin dilantik sebagai Pemerintah Agung dan dikenali sebagai SJAM serta tertakluk kepada Kaedah-kaedah SJA 1973.

1973   -   Akta SJAM diluluskan pada 1 Ogos.

* Sejarah lengkap boleh diketahui di laman http://www.sjam.org.my/about-us/history.

4 comments:

  1. banyak nye..mcm mn nak kasi simple cket,,,,

    ReplyDelete
  2. saya uniform msuk st. john ambulance

    ReplyDelete